Thursday, 17 September 2009

Mogok

10 Dec 1995
Dear Diary,
Brr...cuaca hari ni benar benar sejuk. Suhu sekitar -3darjah celcius. Dah lebih 3 tahun menginap di sini, tapi setiap kali bila tiba musim sejuk, terasa seperti pertama kali mengalaminya. Walaupun cuaca seperti ni mampu membuat diri terasa penat dengan cepat, tapi saya tetap suka melihat perubahan pemandangan setiap kali musim berubah.

Sekarang ni, baju tebal dan gloves tak pernah lekang dari tubuh bila keluar dari rumah. Kalau tengok diri sendiri dalam cermin, rasa nak gelak pun ada. Macam 'Marshmallow' atau 'Michelin' man.

Andai hari itu angin kuat, lagi terasa susah nak berjalan melawan arus. Kaki bergerak setapak demi setapak. Kepala tunduk ke bawah. Sopan saja kan. :p Tapi kalau lama berada di luar sana, mulalah terasa seperti 'badut'. Hidung dan telinga yang terdedah pada udara dingin, akan menjadi merah semerahnya. Tak payah pakai blusher. :) Waktu loceng kelas berbunyi, sayalah yang paling laju mencari kerusi sebelah heater.

Mogok masih lagi berterusan. Strasbourg mungkin tak seteruk Paris, tapi hari Jumaat yang lepas benar benar buat saya takut. Ini pertama kali saya melihat keadaan seperti ini. Pelajar pelajar dari universiti dan sekolah sekolah berdekatan dengan sekolah hotel saya (lebih kurang 50 orang) berkumpul beramai ramai didepan pintu sekolah. Dengan suara lantang dan jeritan menyuruh kami menyertai mogok mereka. Kami pelajar bahagian kursus professional tak dibenarkan sekali kali menyertai kegiatan anti kerajaan.

Saya dan 3 orang kawan sekolah waktu itu masih didalam bas yang bergerak menghampiri kawasan sekolah. Dari jauh saya lihat ada di antara pelajar mogok tersebut memanjat pagar batu sekolah, cuba memecah masuk. Mereka datang dan menahan bas kami. Beberapa orang pelajar naik ke dalam bas dengan tangan memegang kayu dan batu. Mereka memukul dan memecahkan tempat duduk bas. Ini tak lagi macam mogok tapi rusuhan. Berderai cermin bas.

Masa itu, barulah hana terasa takut. Bayangkan mereka dengan badan yang 2 kali ganda lebih besar dari hana, dan dengan kayu di tangan, menjerit memaksa kami turun. Nasib baik, sebelum apa apa sempat berlaku, ketua mogok tersebut datang dan menenangkan pelajar pelajar yang telah hilang kewarasan fikiran tadi. Kelas di tangguhkan dan kami semua di suruh pulang.

Semoga mogok dan segala kucar kacir di sini tamat dengan segera. hana hanya ingin teruskan belajar..

No comments:

Post a Comment