Persetujuan
20 Aug 1995
Awak, saya minta maaf sekiranya saya mengganggu ketenangan awak dengan apa yang saya akan tuliskan dalam surat ini. Hendak bercakap secara terus terang..luahkan apa yang saya ingin katakan, saya takut..saya tak pandai berkata kata. Nanti pasti ada yang akan tersalah faham dan burukkan lagi keadaan.
Banyak sangat yang saya fikirkan tentang malam tu.
Mula mula memang saya terasa hati sangat bila merasakan awak seolah olah menghalau saya. Tapi bila saya duduk sendirian dan fikirkan semula tentang segala perbualan kita, saya rasa memang saya yang bersalah kerana saya yang buat awak terasa hati terlebih dulu.
Awak tanya sama ada saya fikir kita boleh terus berkawan dan mungkin boleh lebih dari kawan selepas ni. Secara automatik..saya terus menjawab 'Tak tahu lah awak'. Saya nampak wajah awak seakan terkejut dengan jawapan saya. Tapi itulah yang sebenarnya. Memang saya tak tahu apa yang saya inginkan.
Kita dah lama berkawan. Awak tentu tahu saya bagaimana. Tak terlintas langsung nak sakitkan hati awak atau hendak menguji. Saya hanya nyatakan apa yang terlintas di kepala waktu itu.
Kalau benar itu lah yang buat awak berkecil hati, saya ingin minta maaf. Soalan ini amat berat buat saya. Hingga sekarang saya tak tahu, betul betul tak tahu bagaimana nak menjawab. Kalau nak katakan 'ye' atau 'boleh', saya terasa takut. Takut kalau segala galanya akan berubah bila kita melangkah lebih daripada batasan 'kawan baik' kepada sesuatu yang tak pasti.
Awak, saya memang suka berkawan dengan awak. Kalau tak suka, tak kan lah saya selalu keluar temankan awak walaupun penat dan walau apa pun yang orang keliling katakan. Malah, awak lah kawan paling rapat yang pernah saya ada. Kawan tempat saya mengadu dan kawan tempat saya bertanya.
Sedih rasanya bila awak menuduh yang saya termakan kata kata orang ramai dan lebih percayakan orang lain dari awak. Bukan saya tak percaya, cuma awak terlalu banyak berahsia, dan diamkan saja kata kata orang. Bukan ke awak yang pernah kata antara kita tidak ada rahsia? Tapi masih ada banyak tentang awak yang saya tak tahu.
Yang paling sedih bila awak samakan saya dengan perempuan lain hanya sebab saya senang sangat terima bila awak mengajak keluar. Hanya kerana saya senang berkawan dengan sesiapa dan selalu berbual dengan siapa saja yang bercakap dengan saya, itu tidak bermakna saya tidak tahu menjaga diri. Tanyalah siapa saja kalau saya pernah keluar dengan mereka? Tak pernah sekali pun kan. Di tempat kerja, saya cuma setakat bertegur sapa , bertanya khabar. Salahkah? Orang berbudi, saya hanya berbahasa.
Mungkin cara saya amat pelik macam yang awak kata. Didikan kita berbeza. Saya tak tahu apa salah saya jika tidak ada yang menegur. Tidak ada yang menerangkan di mana letaknya kesalahan saya.
Awak menyuruh saya keluar dengan orang lain...dan jangan ambil kisah tentang awak. Bukankah kita sahabat dari dulu lagi? Hanya kerana menjadi dewasa, saya perlu memilih sekarang juga untuk menerima sebagai kekasih atau hilang seorang kawan untuk selamanya?
Tidak adil. Awak juga membuang saya dari hidup awak sedangkan awak saja satu satunya kawan yang saya boleh percaya pada saat ini. Haruskah saya membuat keputusan sekarang juga.. pada waktu saya perlukan segala kekuatan untuk menghadapi peperiksaan?
Saya tak pasti kenapa saya menulis surat ini. Mungkin saya dah tak larat cuba untuk hidup sendiri lagi seperti di bumi asing ini, hidup sebagai orang yang terbuang, tiada yang ambil peduli.
Yang nyatanya saya tak mahu hilang awak. Mungkin saya ni memang amat lambat untuk menerima semua ni, adat manusia kan..susah nak menerima apa yang mereka tidak tahu.
Baiklah, kalau itu saja syaratnya, saya terima. Maka jawapan saya hari ini adalah..'ye' dan 'boleh'.
Salam dari jauh..
Saya.
No comments:
Post a Comment