Lautan Biru 2
Singapore
14 Nov 1997
Amacam dengan tugas baru Puteri? Tak sangka Puteri dah jadi guru pulak :) Tahniah you. Tak apalah kerja ni tak glamour pun. Takut nanti kalau glamour, sakit kepala semula pulak. Sedangkan berjerebu pun boleh sakit kepala, inikan pula 'glamour'. Gambar Puteri masih ada dalam simpanan saya. Janganlah bimbang, ianya bukan untuk ditayang, atau untuk dibuat sesuatu yang tak baik. Hanya untuk simpanan.
Saya harap puteri akan terus menulis kepada saya, itupun kalau puteri rasa tak salah. Bagi diri saya, terasa amat bahagia walaupun hanya terima sebaris ayat dari puteri. Sekurang kurangnya saya tahu masih ada insan yang mengingati saya.
Puteri jangan salahkan diri sendiri. Bukan salah puteri.. puteri cuma cuba mencari ketenangan di bumi helang ni, tapi terpaksa hadapi gelora dan badai pula. Sepatutnya saya yang meminta maaf sebab mengganggu ketengan itu. Kenapa selama 7 tahun saya mampu melawan dan menolak segala perasaan yang mendatang, tapi di saat saat hati hampir hampir sekeras batu akhirnya saya tertunduk. Akhirnya saya tertewas. 7 tahun saya hidup dalam dunia saya sendiri tetapi sebaik saja terpandang wajah Puteri semasa puteri datang untuk ditemuduga, saat itu juga saya tahu yang saya telah tewas. Ketahuilah puteri, saya telah cuba sedaya upaya untuk melawan perasaan ini, dan saya telah lakukan apa saja untuk buat puteri marah. Namun puteri tetap sentiasa tersenyum.
Di saat saat akhir, saya telah cuba bebrapa kali untuk meluahkan dan meneragkan pada puteri tetapi kelu pula lidah ini untuk berkata kata setiap kali bila berhadapan dengan puteri. Di sini, biarlah saya mengaku: Sememangnya saya telah jatuh hati pada Puteri. Ini lah yang sebenar benarnya. Dan sebab inilah juga saya menghilangkan diri , melarikan diri menjadi pelaut. Kerana tidak sanggup mendengar yang Puteri akan bertunang.
Saya harap puteri masih simpan arca ikan lumba2 yang saya berikan pada Puteri. Dan terima kasih kerana sudi juga membalas surat saya, walaupun surat puteri penuh dengan persoalan demi persoalan. Puteri memang tak berubah ye.. :) Selepas ke China, kapal saya akan masuk Dry Docking kat Pasir Gudang Johor. Saya berhajat untuk pergi ke Melaka masa tu. Boleh ke saya berjumpa dan berbual bual dengan puteri? Saya berharap sangat tiada halangan buat puteri. Atau.. andai puteri ingin ke sini untuk melihat 'rumah terapung' saya?
Sekali lagi saya nak minta maaf banyak banyak (Sedangkan Nabi ampunkan umat, ini kan pula Tuan Puteri..)sekiranya penjelasan ini menggugat sekali lagi ketenangan puteri. Inilah yang sebenarnya sebab saya tidak ucapkan selamat tinggal. Saya tak mahu Puteri kasihan pada saya kerana saya tak menagih simpati dari sesiapa. Harapan saya, puteri tidak akan menyepikan diri selepas menerima warkah ini.
Saya akan belayar semula untuk satu jangka masa yang amat panjang selepas ini. Jadi saya harap masa dekat Pasir Gudang nanti, hajat saya yang satu ni dapat puteri tunaikan.
Sampai di sini
Seaman B
No comments:
Post a Comment