Menutup Pintu Ingatan
Ayah, kata Abang Ngah, seorang yang sangat garang. Nasib baik, katanya lagi, ayah tak selalu ada di rumah. Ayah selalu sibuk dengan mesyuarat dan hal hal kerja. Bila sesekali dia duduk di rumah, semua orang akan senyap. Makan malam di meja makan juga berlalu dalam diam. Tidak ada usik mengusik, mahupun bunyi sudu terkena pada pinggan. Selesai saja makan, Abang Long dan Abang Ngah akan bawa buku dan kerja sekolah mereka untuk diperiksa oleh ayah. Dengan rotan di tangan, ayah akan memeriksa buku latihan mereka.
Kata Abang Ngah, saya seorang saja yang tidak takut dengan ayah. Bila ayah pulang, saya lah yang paling girang menyambut ayah. Dan ayah pasti akan membawa sesuatu untuk saya: buku, permainan, warna. Yang lain akan masuk ke bilik dan buat hal masing masing. Saya sebaliknya, suka duduk disebelah ayah dan mendengar ceritanya walau saya tidak faham apa yang dicakapkannya. Abang Long selalu mengejek mengatakan saya 'spy' kepada ayah..pengintip dan pengadu tentang dia. Sedangkan saya cuma ingin merasa dekat dengan ayah yang tidak seperti orang lain lebih selalu marahkan saya.
Kata Abang Ngah, sedari kecil saya sangat takut pada bunyi guruh bila hari hujan dan juga pada sebarang bunyi yang kuat. Setiap kali kilat sabung menyabung dan guruh berdentum, saya pasti akan menyorok dibalik kerusi atau sesiapa saja yang berhampiran. Begitu juga, bila ada yang bergaduh, bila bunyi rotan kena pada kulit, bunyi ibu menangis, bunyi pintu di hempas dengan kuat, bunyi pinggan dibaling ke lantai..semuanya menakutkan.
Kata Abang Ngah lagi, saya selalu akan hilang pada waktu waktu ini. Dan bila waktu makan tiba, baru lah semua orang sedar saya tidak ada. Dan Abang Ngah lah yang selalu disuruh mencari saya bila saya hilangkan diri. Tempatnya seperti biasa..di bawah katil.
Kali pertama Abang Ngah jumpa saya, dia sangat takut. Saya berada di bawah katil dengan mata terpejam rapat dan tangan menutup telinga. Kalau satu jam saya hilang, bermakna telah satu jam saya berada di situ dalam keaadaan sedemikian. Bila dia sentuh saja, mata saya terus terbuka tapi pandangan dalam mata kosong. Seperi tubuh yang rohnya tiada. Dia pulak yang jadi takut.
Dia akan terus panggil nama saya perlahan dan berkali kali.. sehingga pandangan saya berubah normal. Bila dia tanya apa saya buat..saya cuma kata yang saya tertidur. Saya tidak ingat langsung kenapa saya berada di bawah katil melainkan ianya disebabkan satu perasaan takut.
Sekarang, bila dewasa, bila Abang Ngah bercerita, saya jadi faham kenapa saya boleh bertahan dengan segala kesusahan yang tiba. Minda saya berfungsi untuk melindungi saya dengan menafikan semua peristiwa yang saya rasa saya tidak mampu untuk hadapi.
Saya cuma perlu pejamkan mata dan ksongkan fikiran. Memadamkan memori pahit dan menggantikannya dengan hal hal lain. Cuma bila terlalu banyak dugaan yang berlaku dalam satu masa, saya tidak mampu melakukannya.
Unik? Pelik? Entahlah..yang nyatanya..saya tak mahu ingatan itu kembali..
No comments:
Post a Comment