Kapsul Masa
Awak semestinya tidak boleh meneka apa yang saya fikirkan, bukan?
Awak masih ingat lagi apa yang terjadi tanggal 30 Ogos 2003 yang lepas? Hari itu Perdana Menteri kita yang ke-4, Tun Dr M, meletakkan amanat dan harapan dia tentang Malaysia dalam satu kapsul masa (time capsule). Katanya, ada lagi 19 tahun 161 hari sebelum kapsul masa ini akan dibuka semula. Rasanya kita sudah boleh teka apa Tun Dr M tuliskan dalam warkah yang diletakkannya dalam kapsul tersebut: semestinya tentang Wawasan 2020 dan apa yang dia impikan untuk Malaysia.
Sewaktu Tun Dr M merasmikan kapsul masa tersebut, saya berada di France. Sebulan selepas peristiwa bersejarah itu, barulah saya mendapat tahu tentangnya. Biasalah kan. Berita lambat sampai pada kami di sana. Apa lagi, kami di Strasbourg tidak mempunyai internet.
Saya ceritakan hal ni kepada Maria dan serentak kami mendapat idea yang sama. Kami ingin buat kapsul masa kami juga! Apa yang hendak diletakkan di dalam kapsul kami tu ye? Hmm.. bagaimana jika kami letakkan gambar kelas, kertas-kertas peperiksaan kami, gambar kami berdua, gambar budak-budak kelas hotel management, surat-surat merajuk, surat marah kat prof dan hehehe..bermacam macam lagi.
Siap sahaja projek kami, kami segera tanamkan tin tu kat bawah sebuah pokok besar (tak ingat dah apa nama pokok itu) Ianya betul-betul di sebelah taman permainan berdekatan apartment Maria. Entahlah. Ada lagi atau tidak pokok tersebut.
Kami berdua berjanji yang kami akan cuba untuk datang semula ke tempat ini dan gali semula tin biskut/kapsul masa kami. Masa tu, kalau campur tolak rasanya umur mungkin dah 55 tahun. Saya sendiri sudah lama tak dengar khabar Maria. Setelah tamat pengajian, saya pulang semula ke Malaysia dan dia pulang ke negaranya di Mexico. Dua perantau yang bertemu di bumi asing Strasbourg.
Eh, jom awak. Kita buat kapsul masa kita juga nak? Kita ikut cara Tun Dr M. Kita buka 'kapsul masa' kita tu tahun 2020 nanti. Kalau masa tu saya dah tak ada lagi dalam dunia ini, awak cari dan buka kan kapsul itu untuk saya, boleh? Oklah, nanti hari Ahad ni kita buat peta, dan saya tanda kan X besar besar untuk awak. Tak tau buat peta? Alahai, biar saya buatkan petanya dan bagi untuk awak simpan.
Kalau awak, apa yang awak nak isi dalam kapsul tu ye? :) Awak tak tau apa nak letak? Awak boleh letak apa saja yang awak suka: kad happy birthday ke, gambar awak, keratan akhbar ke, sesuatu mungkin susah nak di cari pada tahun tu. Mungkin awak nak tuliskan peristiwa yang gembira atau sedih yang awak alami?
Saya? Saya nak ambil gambar, labelkan ianya dan catatkan agendanya. Gambar apa? Ooo..nak tahu, kenalah tunggu hingga tahun 2020. Sabar lah ye. Bukankah sabar itu separuh dari iman?
No comments:
Post a Comment