Hati Suzy
"Sis.. Sis... " hampir tersedak dibuatnya. Apalah budak ni. Cubalah panggil lembut lembut sikit. Dahlah diterjahnya tanpa salam, suaranya pula bergegar satu kantin. Alhamdulillah, nasib baik habis sudah air yang diteguk. Kalau tidak, pasti bersembur pada Rita yang sedang tekun makan 'vegetarian' lauk pauk dia tu. Makanan sihat kata orang, tapi buat saya..terasa susah hendak menelan sepinggan sayuran tanpa bahan-bahan sampingan lain (seperti ayam, daging, udang, ikan, penyu..oppsss, mana pulak datang penyu ni :p hehehe).
Menjeling ke kiri dengan sebelah mata ke arah Suzy. Hmm ... kalau dilihat dari matanya yang bersinar semacam dan senyumnya yang sampai ke telinga tu, firasat kuat mengatakan ini sudah semestinya ada kaitan dengan 'jejaka idaman Malaya' dia. Suzy ni, kalau dah lihat orang tu, makan pun tak dihiraukan lagi. Rasa nakal segera menjelma. Memandang Rita seraya mengangkat kening. Rita segera faham isyarat tersebut..jom usik si Suzy. :)
Saya dan Rita saling berbual tanpa hiraukan Suzy. Kami bercerita tentang beg Rita, saling mencuit merasa makanan di pinggan sambil bergurau. Sesekali mata menjeling si Suzy yang terkedu di tepi kerana tidak dipeduli.
Tam! Berdentum meja dihentak. Terdiam Rita dan saya. Oh, Suzy sudah mengamuk. Masa untuk berikan sepenuh perhatian.
"Tadi kan, tadi, Suzy jumpa sidia dalam lift. Kacak sangat-sangat. Dan kami berdua aje waktu tu" cerita Suzy sambil tersenyum.
"Apa jadi lepas tu? Lift terhenti dan kamu bertukar nombor phone ye?" ujar Rita pula.
"Tak lah. Suzy malu le. Suzy cuma tunduk. Tak berani nak pandang. Tapi..bestnya. Buat sesaat, hanya kami berdua sahaja di situ." kata Suzy lagi.
Leh..apa lah Suzy ni. Itu baru berjumpa sekejap tanpa bertukar suara, sudah gembira sampai ke langit. Agak-agaknya kalau jejaka tersebut menegur dia, terus ke syurga mungkin dia.
Silap-silap sang jejaka akan berfikir yang Suzy tidak suka akan dia. Manalah tahukan, akan di sangkanya Suzy membenci, melihat muka pun tak ingin. Setiap kali bertemu, Suzy pasti akan berpaling ke kiri, ke kanan, ke bawah, ke langit atau bersembunyi di balik rakan. Mulut tidak berbicara, bahasa tubuh seakan menjauh.
Perempuan memang sifatnya pemalu, tapi kalau sudah tiga bulan dan masih malu-malu begitu, bila ceriteranya akan bermula ye?
No comments:
Post a Comment